Hari-hari Mentari


Hari-hari Mentari
(sa-buah cherpen nostalgia merdeka)

Nona-nona~ Zaman sekarang~
Tak boleh ditegur~ Tak boleh dilarang~

“Kita mengganggu siaran ini, angkatan udara Jepun telah mengebom Pearl Harbour , kubu Amerika Syarikat di Lautan Teduh. Banyak kerosakan telah berlaku, pasukan tentera laut Amerika…”

“Pearl Harbour kena bom?!”

“Mengapa dibom?!”

Nona-nona~ Zaman sekarang~
Tak boleh ditegur~ Tak boleh dilarang~
Bajunya Pendek~ Tambah Jarang~

“Kita mengganggu lagi siaran ini, hari ini pasukan kapal-kapal terbang Jepun telah mengebom Bandar Singapura. Dan inilah berita yang terakhir, askar-askar Jepun telah mendarat di Kota Bharu…”

“Askar-askar Jepun telah mendarat di Kota Bharu?!”

Ya, Jepun telah pun mendarat di Kota Bharu. Askar-askar pun khabarnya telah mula berangkat ke dalam hutan. Tapi Sepiah tak tahu-menahu tentang semua itu dan tidak mengambil tahu pun. Dia cuma tahu yang setiap hari dia harus turun ke tanah sedang ayam jantan baru hendak berkokok dan embun jantan belum pun kering. Bertemankan jamung dan lakinya, mereka akan teraba-raba terkdedek-kedek dalam gelap-gelemat dinihari ke alek jatuh mengambil upah menoreh getah dengan tauke Cina.

Bila kerja-kerja menoreh selesai dan matahari sudah timbul, dia laki isteri harus pergi ke alek naik pula. Membanting tulang empat kerat di tengah terik mentari di tengah padang. Membuat padi di atas tanah pusaka nenek moyang yang sekangkang kera cuma dan hasilnya pun tidaklah seberapa. Sampai zohor baru mereka pulang.

Petang-petang selepas asar, mereka sekelamin akan mencari nyiur-nyiur tua di keliling rumah untuk disalai buat kelapa kering. Kurang-kurang dapat juga satu dua sen kalau laku dijual. Sekali-sekala, lakinya pula akan ke pekan membuat kerja-kerja penghulu di pejabat penggawa atau kalau-kalau ada mesej yang hendak dikawatkan.

Bila hari sudah malam sambil-sambil mengulit anak-anak tidur, Sepiah akan mencarik-carikkan kain kelambu buruk atau menggunting-gunting kain cadar lama untuk dibuat baju anak-anak.

Jepun memang pandai. Ketika Amerika sedang berkalut-ribut di Lautan Teduh dalam masa yang sama mereka senyap-senyap mendarat di Kuala Pak Amat di tengah malam. Jepun memang pandai dan orang putih memang bodoh. Jepun tahu orang putih cukup cuak kalau Singapura jatuh ke tangan mereka. Sebab Singapura kaya. Sebab harta orang putih banyak di Singapura. Jepun tahu orang putih cukup yakin mereka akan terus masuk menyerang Malaya dari Singapura. Sebab itu belum apa-apa lagi orang putih sudah memanggil serdadu-serdadu balik berkubu di situ, meminta kapal-kapal terbang pulang berpengkalan di situ, menyuruh bahtera-bahtera perang kembali berlabuh di situ.

Sebab itu orang Jepun memilih untuk mendarat di Sabak. Tempat yang sekali-kali tidak dijangka dan disangka orang putih. Sebab pada orang putih negeri Kelantan itu miskin serba-serbi tak ada. Tanah hampa tanpa hasil. Sebab itu nenek moyang mereka mengenakan cukai-cukai yang entah apa-apa pada rakyatnya. Cukai perahu? Cukai kelapa? Cukai kepala? Tapi zaman itu, Jepun dan orang putih sama-sama tak tahu di muka laut tempat Jepun berlabuh, di tepian pantai tempat orang putih bertahan, di laut tempat mereka saling bertikam dan bergomol, isi perutnya sebenarnya penuh dengan emas hitam yang kaya.

Walaupun pantai itu ditinggalkan hampir telanjang dari pertahanan, sehari suntuk juga Jepun terpaksa berhempas pulas merampas pengkalan udara Pelangkalan Chepa. Mereka mengaku pertempuran itu yang paling sukar dalam banyak-banyak pertempuran untuk mendapatkan Malaya. Bila kekuasaan udara sudah dipastikan milik Jepun, baharulah mereka mara. Dengan basikal-basikal tua berderet-deret, mereka menyusup pantas di celah-celah hutan dan denai-denai desa. Sampai di Sungai Pengkalan Datu, mereka merampas perahu orang-orang kampung dan mula menyeberang sungai senyap-senyap.

Hari-hari Sepiah pun mula berubah bila Jepun mula masuk ke kampung. Lakinya kini pagi-pagi lagi mesti keluar mengadap tuan yang baru. Sebagai penghulu kampung, tugas barunya ialah mengumpulkan orang laki-laki dan sama-sama mereka menjadi buruh paksa. Mereka dikerah memasang dawai-dawai kawat berduri di sepanjang jalan. Mula dari Kota Bharu sampai ke Kubang Kerian sampai ke Pasir Puteh.

Jepun-jepun pula setiap hari akan datang ke rumah Sepiah. Mereka datang beramai-ramai dengan segala alat perkakas periuk, kuali dan belanga. Bawah kolong rumah Sepiah bertukar menjadi dapur. Jepun-jepun menanak, menggulai dan menyayur di situ. Kemudian mereka akan makan, melepak-lepak, merokok dan sekali sekala mabuk-mabuk.

Sepiah pula sudah jadi kecut mendengar cerita-cerita orang. Tentang perempuan-perempuan yang dilarikan Jepun sampai tak balk-balik lagi. Dengan anak seorang dipimpin dan seorang lagi dikelek, Sepiah mengheret budak-budak itu ke dalam baruh. Sehari suntuk menyorok di situ. Kerana Jepun-jepun itu, tak kiralah anak dara orang atau emak orang semuanya dibaham juga. Ada juga kawan-kawan lakinya mencadangkan supaya dia menyamar jadi laki-laki saja. Menyimpan sanggul di dalam topi dan memakai seluar panjang. Tapi taubat Sepiah tak mahu itu semua. Pantang tok neneknya orang perempuan memakai seluar. Nanti tak pasal-pasal orang kampung menuduhnya mahu menjadi Cina. Zaman itu, perempuan mana yang pakai seluar kalau tidak Cina.

Satu hari yang lain, lakinya pulang lewat daripada biasa. Sepiah sudah mula runsing. Banyak pula cerita-cerita tak baik yang sampai kepadanya. Tentang bagaimana orang Jepun melayan orang-orang kampung terutama buruh-buruh paksaannya. Janganlah pula kena pada lakinya. Ada yang dijegilkan matanya kemudian dipaska memandang tepat ke matahari. Ada yang dipaksa minum air sabun sampai kembung perut. Kemudian dipijaj-pijak perutnya sampai keluar buih dari mulut dan lubang hidung. Ada yang disula buntuntnya dengan benet kerana terlalu lembab memanjat kelapa. Ada yang kena potong kepala. Lakinya pulang juga, lewat kerana menguruskan seorang laki-laki di Kedai Lalat yang kena bom. Orang itu memikul tilam bergulung di atas belakang yang Jepun sangkakan tentera Ghurka.

Sepiah tidak pasti selama mana dia hidup begitu. Hidup mati tidak menentu. Hari-hari curi-curi makan umbut kelapa, ubi kayu dan kadang-kadang umbut pisang dan akar-akar kayu pun jadilah. Padi dan beras semuanya dirampas.

Cuma satu hari Sepiah yang tahu Jepun sudah alah dan orang putih sudah balik semula.
Kemudian hidupnya pun balik kepada asal semula. Tidak berubah banyak atau tidak berubah langsung pun. Pagi-pagi sebelum subuh pergi ke kampung Cina mengambil upah menoreh getah. Sudah menoreh pergi ke baruh, bercedung atau memukul padi bergantung pada musim. Kemudian petang-petang selepas asar mengutip nyiur-nyiur tua yang akan disalai untuk dibuat kepala kering. kemudian dijual kepada peraih untuk sesen dua. Kemudian malam-malam menjahit dan menampung baju anak-anak dengan kain kelambu buruk dan kain cadar lama yang dicarik-carik dan digunting-gunting.

Azab. Hidup zaman hari itu memang azab kata Sepiah.

Tammat - 11 Ramadan 1430, jam 5.20 petang
Ketika kurang sejam lagi akan berbuka


Post a Comment

Power Inverter Discount

Powered by Blogger.
It's free
item