Dari Kartago ke Kairouan VI
Gereja masih menjadi tempat yang menakutkan untuk aku.
Ruang dalamannya sengaja disusun suram dan kelam walaupun mesej igama Kristen penuh dengan kasih sayang. Mungkin bagi menimbulkan rasa bersalah selari dengan konsep dosa asal.
Di luar pula kadangkala penuh dengan jembalang-jembalang bertenggek pada cucur atapnya. Ukiran jembalang itu dikatakan mempunyai dua tujuan. Satu, menakutkan para jemaah agar berlindung di dalam gereja mengingatkan mereka pada hari akhirat. Dua, memberi isyarat pada para jemaah bahawa jembalang itu tersekat pada dinding gereja dan tiada boleh ia masuk maka selamatlah jemaah jika berlindung di dalam gereja.
Katedral Saint Vincent de Paul ialah satu-satunya gereja besar katolik di Tunis yang menempatkan kerusi biskop. Ia menggantikan Katedral Saint Louis di Bukit Byrsa. Kebanyakan penganut mazhab katolik ialah para penjarah Perancis dan jumlah mereka menurun setelah kemerdekaan.
Pembinaannya ditujukan kepada Saint Vincent de Paul, penaung kerja-kerja kebajikan. Satu, mungkin kerana gereja ini dibina oleh orang Perancis dan beliau sendiri berasal dari Perancis. Dua, lebih menarik lagi, mungkin kerana ketika usia muda, beliau pernah diculik oleh lanun Barbar ke Tunis dan dilelong sebagai hamba selama dua tahun.
Tak banyak untuk aku tengok di Ville Nouvelle -new town- selain pejabat-pejabat kerajaan tinggalan kolonial. Beberapa kali aku lintas katedral ini. Ada sebatang pokok Krismas yang renek di depan pintunya yang terbuka separuh. Tapi tak ada hati nak jenguk.
Post a Comment