Mengadap Sultan Setambul XL
Tujuan pertama selepas sebarang ke sebelah sana Golden Horn ialah mercu tanda yang paling menonjol, Menara Galata. Kami panjat bukit sikit kerana sudah lumrah menara begitu dibina di tempat tinggi. Berehat sekejap di bangku pajang sambil menghabiskan sisa dan baki doner kebab. Intai masuk ke dalam menara, wah! Macam lobi hotel lima bintang. Dinding keliling dengan kemasan kayu. Terpampang di satu sudut sekali naik 10 lira. Patah balik tak jadi naik. Tengoklah dari luar saja.
Menara ini dibina pada zaman pertenghahan oleh Republik Genoa, salah satu daripada republik-republik korperat dan komersial di Itali, ketika mereka menjadikan Galata sebagai koloni dengan tujuan pertahanan. Ketika zaman Osmaniyyah, menara ini hanya tinggal sebagai menara tinjauan bagi mengelak kebakaran.
Kita selalu mempesoalkan apakah pencapaian dan penemuan serta ke manakah perginya saintis dan ilmuan era Osmaniyyah? Menara ini banyak merakamkan kisah menarik tentang percubaan-percubaan dan uji kaji mereka dari era ini. Kedua-duanya berlaku pada zaman Sultan Murad IV.
Hezârfen Ahmed Çelebi, seorang jurutera terbang atau sebetulnya meluncur dari puncak menara ini menyeberangi Selat Bosforus ke Uskudar menggunakan pelunc ur daripada sayap helang dengan bantuan angin. Sultan Murad IV memberi kurnia seuncang wang emas seraya berfirman, "Orang ini menakutkan. Dia mampu berbuat apa saja yang dia mau. Tidak molek menaruh orang sebegini."
Hezârfen Ahmed Çelebi dibuang negeri ke Algeria dan meninggal di situ. Menurut bapa saya kisah ini serupa dengan nasib Hang Nadim dalam Singapura dilanggar Todak. Perangai raja dulu-dulu, orang yang berkebolehan ditakuti,disekat dan dihapuskan.
Setahun berikutnya, adik-beradiknya yang juga jurutera, Lagâri Hasan Çelebi menjadi manusia pertama terbang menggunakan roket, yang bersayap tujuh dengan bahan bakar 50 okka (140 paun) serbuk belerang. Sebelum terbang beliau mengumumkan kepada sultan, "Ayuhai Sultan, patik akan naik bercakap dengan Nabi Isa."
Selepas itu beliau mendarat di dalam laut dan berenang ke tepian langsung mengadap sultan dan berkata, "Ayuhai Sultan, Nabi Isa berkirim salam kepada tuanku." Beliau dikurniakan perak dan pangkat sipahi (tentera berkuda). Boleh jadi dia lebih pandai membodek.
Begitulah, saintis era Osmaniyyah banyak bergiat dalam bidang kejuruteraan selain membuat inovasi kepada penemuan pesaing mereka yang sedang dalam era renaissance. Bolehlah rujuk dalam novel Orhan Pamuk, The White Castle ...
Post a Comment