Pertewasan Lukisan

Satu pagi, mama gerakkan aku dari tidur. Disuruh mandi dan semuanya kemudian diheret keluar. Aku dan abang dibawa ke mana entah. Kalau tidak ke Dewan Sri Pinang pun ke mana-manalah yang penting di tanjung sana.

Rupa-rupanya mama bawa kami ke sebuah pertandingan melukis. Tema hari itu ialah, tempat-tempat menarik di Pulau Pinang. Dalam kepala aku sudah terbayang KOMTAR. Sudah terbayang kereta kabel menyusur turun dari Bukit Bendera.

Tapi kerana umur yang baru empat lima tahun jadi tangan tak dapat terjemahkan kepada bentuk lukisan. Idea hilang. Kemudian aku nampak lukisan abang aku. Jambatan Pulau Pinang. Kerana waktu itu, abang aku ialah ikutan aku atau mungkin menjadi idola aku maka aku tiru.

Usai. Aku diisytihar pemenang tempat ketiga mungkin, di samping anak-anak Cina lain. Abang aku tak menang. Aku tak ingat kami kategori berbeda atau ada satu kategori saja.


Kami buat lukisan sama. Tapi konon mengikut cerita lukisan aku kononnya lebih penuh. Lebih kreatif (grandeur alert). Sebab dalam lukisan aku selain lukis jambatan, aku lukis nelayan-nelayan tangkap ikan. Lukis kereta lalu-lalang. Lukis pulau-pulau kecik keliling jambatan. Lukis kapal belayar. Lukis burung terbang. Lukis kapal terbang atas langit. Lukis awan, matahari, angin.

Abang aku lukis ikut tema yang dia suka. Sampai SPM pun (dia ambil lukisan) dia pakai tema tu dan dia memang bagus dalam tema tu. Tema senja. Dia lukis Jambatan Pulau Pinang waktu senja. Jadi lukisan dia tak terpilih agaknya sebab terlalu 'dewasa'.

Aku ingat lagi, hadiah masa tu ialah pensel warna 36 batang. Mama kata tak apalah, share hadiah tu. Masa lintas jalan nak balik aku pun hulurlah hadiah tu kat abang aku dengan perasaan bersalah mula menjalar. Abang aku pun lempar hadiah tu tengah jalan. Jangan bimbang tak ada siapa kena langgar.

Abang aku marah dan menangis tak puas hati. Katanya sebab aku tiru dia. Curi idea dia. Aku pun rasa bersalah gila. Bersalah gila. Memori aku cuma setakat tu.

Masih tak ada biskut.
Sebab belum pinjam graphic tablet daripada I.K. Tan.

Post a Comment

Power Inverter Discount

Powered by Blogger.
It's free
item