Pilih Menantu


Orang tua-tua lama pun tahu, kalau nak pilih menantu pilihlah yang ada agama, tengok titih keturunannya, yang elok rupa cukup sifat dan ada
harta pula. Orang tua-tua lama tahu itu dari tok-tok guru mereka. Pun, mereka ada kaedah-kaedah sendiri untuk mendapati hal-hal selain yang disebut tadi atau hal-hal yang disebut tadi.

Orang Tionghua memilih menantu dengan melihat kepada punggung. Punggung yang besar dipercayai menjamin kesuburan. Dalam perbidanan pun memang diketahui punggung yang besar memudahkan beranak.

Orang Melayu melihat kepada tangan. Bertepatan dengan ajaran Nabi yang (hanya) membenarkan melihat (hanya) tangan bakal tunangan. Tapi orang Melayu melihat pada kura tangan -bahagian tangan yang kebalikan tapak tangan, punggung tangan. Kalau kura tangan nampaknya gebu insya Allah Taala subur. Tapi kalau kura tangan nampaknya kering kasar maka sebaliknyalah.

Adapun selain melihat pada batang tubuh, orang tua lama pun ada membuat kiraan lain juga. Antaranya menggunakan kaedah empat unsur alam tanah, air, api dan angin. Anak sulung dikatakan berunsur tanah, yang kedua air dan begitulah seterusnya dan anak kelima berunsur tanah semula dan begitulah pusingannya.

Orang yang berunsurkan tanah dikatakan teguh, kejap seperti tanah. Orang yang berunsur air pula lembut dan menyejukkan, yang berunsur api memendam tapi sekali-sekala marak meyala pun mudah pula untuk pendam semula. Unsur yang paling susah ialah angin kerana angin tak punya bentuk tetap, sukar diduga, payah berkira dan semua mesti ikut kehendaknya.

Maka begitulah dipasang-pasangkan anak. Tanah paling neutral, sesuai dengan mana-mana. Air pula boleh menyejukkan atau memadam atau menjinakkan api. Tapi angin kalau bersama-sama api, akan semakin besarlah api dan kalau angin bersama air akan membadai bertukar menjadi ribut atau ombak yang tinggi. Adapun tanah yang kejap dan kukuh sajalah yang mampu menahan angin.

Kaedah yang lebih mudah ialah hujung sama hujung dan tengah sama tengah. Iaitu anak bongsu atau sulung elok dinikahkan dengan anak yang juga bongsu atau sulung dan anak yang di tengah tak kira nombor berapa pun elok dengan yang tengah juga. Konon pasangan yang disusun begitu lebih senang hidupnya dari segi ekonomi dan kewangan.

Maklumat yang baru diperoleh daripada saudara Hidir ialah bagaimana orang tua-tua lama menelah siapa yang bakal mendominasi atau pergi lebih jauh atau lebih berjaya dalam keluarga. Suami atau isteri? Iaitu dengan membuat kiraan baris-baris dalam ejaan nama pasangan.

Sifirnya, baris atas dua markah, baris bawah satu markah dan baris depan tiga markah. Sebagai contoh pasangan Tengku Abdulkadir dan Zaatil Iffah. Menurut kiraan Kadir mendapat 12 mata manakala Zaatil mendapat enam mata yang menunjukkan Kadir bakal lebih mendominasi. Nama -pasangan yang dipakai hanyalah sebagai misal saja.

Maka begitulah adanya.

Post a Comment

Power Inverter Discount

Powered by Blogger.
It's free
item